Khamis, 5 November 2015
Mendung Kasih (2)
5
Johan masih memerhatikan Mira di sebalik langsir tingkap bilik. Dia melihat Mira asyik tersenyum memandang ke arah kolam dan sesekali bibir comel itu seakan bergerak-gerak.
“Gila ke perempuan yang kahwin dengan aku ni? Cakap sorang-sorang pulak. Mama, abah tengoklah menantu pilihan kalian dah gila...”.
Johan pelik kenapa mama dan abahnya memaksa dia mengahwini perempuan itu. Kononnya perkahwinan itu adalah wasiat dari arwah datuknya, Dato’ Sulaiman. Dia yang pada mulanya menentang perkahwinan itu akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kedua mama dan abahnya. Mama juga mengugut tidak akan mengaku perempuan lain selain dari Mira yang akan jadi menantunya. Akhirnya kedua orang tuanya tersenyum lebar bila dia menyetujui rancangan mereka.
Namun begitu tiada seorang pun teman baiknya atau rakan sepejabat yang hadir di hari perkahwinannya. Dia sendiri tidak memberitahu tentang perkahwinannya. Johan malu sekiranya teman atau rakan sepejabat tahu yang dia berkahwin atas desakan dan pilihan orang tua. Pasti dia akan ditertawakan oleh kawan-kawannya. Johan tidak mahu teman dan kawan sepejabatnya tahu dia sudah berkahwin. Biarlah ianya menjadi rahsia dirinya.
Johan tersedar dari lamunannya bila terdengar bunyi pintu dibuka. Mira sudah tiada di tepi kolam ikan.
“Mungkin perempuan tu sudah naik”, desis hati Johan.
Dengan segera dia capai tuala mandi dan menuju ke bilik air. Pintu kamar tidur terbuka dan Johan memandang sekilas ke arah Mira baru masuk ke dalam kamar tidur. Dia nampak Mira cuba tersenyum memandangnya dan Johan cepat-cepat berpaling menuju ke bilik air tanpa mempedulikan senyuman Mira. Mira hanya terdiam memerhati gelagat Johan. Walaupun hati sedih dengan layanan Johan terhadapnya, dia tetap bersabar.
Mira mengemas katil dan sofa tempat Johan tidur. Menyusun bantal dan melipat selimut. Bukan dia tidak biasa melakukan kerja yang dilakukan sekarang. Suasana yang baru dan sikap dingin Johan buat Mira rasa serba salah. Selesai mengemas apa yang patut, Mira duduk di sofa. Tidak tahu apa yang patut dia buat. Johan masih dalam bilik air.
Pintu air terbuka. Johan keluar dari bilik air dengan menggunakan tuala mandi yang dililit dipinggangnya. Dengan tidak berbaju memang menyerlahkan tubuh sasa Johan. Mira segera berpaling ke arah lain. Timbul pula perasaan malu memandang Johan dalam keadaan sedemikian.
Mira bingkas bangun dan menuju ke arah balkoni. Tidak selesa dia dengan keadaan begitu. Berdiri di tepi balkoni dan memandang ke arah deretan rumah mewah. Masih sunyi lagi suasana pagi itu. Hanya terdapat dua atau tiga buah kenderaan yang lalu lalang di hadapan rumah. Hembusan bayu yang sungguh nyaman melekakanya. Kemudian Mira teringat tujuannya untuk mengajak Johan turun bersarapan. Pantas dia berpaling ke arah Johan dan dia tergamam kerana Johan sedang merenung tajam ke arahnya.
“Kemas pakaian kau. Petang ni kau ikut aku balik rumah aku”, arah Johan.
“Yang kau tegak macam tiang letrik ni, kenapa? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni”, sergah Johan lagi.
Mira hanya mengangguk.
“Kau ni bisu ke”, ejek Johan.
“Tak bang”, jawab Mira perlahan.
Mira hanya menundukkan kepalanya. Tidak sanggup rasanya dia memandang Johan. Hanya menambah sakit dihati. Kecewa sungguh Mira dengan sikap kasar Johan terhadapnya.
“Beginikah layanan seorang suami kepada isterinya”, kata hatinya.
“Kau faham tak apa yang aku cakap tadi”.
“Faham bang”.
Habis bercakap Johan terus turun ke bawah, meninggalkan Mira sendirian. Langsung tidak mengajak isterinya untuk turun bersarapan bersama. Lemah langkah Mira menuju ke tingkat bawah.
Dimeja makan kelihatan kedua mentuanya dan Johan sedang menunggu. Perlahan dia menarik kerusi dan duduk sebelah Johan. Johan langsung tidak memandang ke arahnya. Cuma kedua mentuanya yang memandang dan tersenyum mesra kepadanya. Dia membalas senyuman kedua mereka.
“Petang ni Jo nak bawak Mira balik rumah Jo”, beritahu Johan kepada mama dan abahnya
“Kenapa cepat sangat? Mama tak setuju”, bantah mama.
“Laa...awak ni kenapa. Biarkanlah dia bawak balik si Mira tu. Si Mira tu kan isterinya”, sampuk abah.
“Pengantin baru mestilah hendakkan privacy. Takkan la awak tak faham-faham lagi”, sambung abah lagi sambil tersenyum.
“Ya la mama ni. Buat-buat tak faham pulak”, balas Johan selamba.
Macam-macam nasihat dan pesanan yang diberikan oleh mama sebelum bertolak. Mira hanya tersenyum dan mengangguk sahaja. Johan menunggu dalam kereta Honda Viosnya dengan perasaan jengkel. Selepas bersalaman dengan kedua-dua mentuanya, Mira masuk ke dalam kereta dan melambai tangan ke arah kedua-dua mentuanya.
Suasana sepi menyelubungi sepanjang perjalanan. Kedua-duanya membisu. Johan tenang memandu. Mira hanya diam melayan perasaan sendiri. Akhirnya mereka sampai di rumah Johan. Setelah pintu dibuka, Mira melangkah masuk dengan debar di hati. Dia mengikut langkah Johan menuju ke tingkat atas. Tiba-tiba Johan berhenti dihadapan pintu sebuah bilik.
“Untuk pengetahuan kau. Ini bilik aku. Aku tak suka kongsi bilik. Bilik kau situ”, jari Johan menunjuk pintu bilik di hadapannya dan kemudian jarinya menunjuk arah pintu disebelah biliknya.
“Aku nak pesan dengan kau jangan sesekali masuk bilik aku. Aku tak suka”, tegas Johan.
“Aku letih sekarang, aku nak rehat. Jangan kacau aku”, sambung Johan lagi dan terus menutup pintu biliknya.
Mira tercengang. Hairan dengan sikap Johan.
“Ahh..lantaklah. Ikut aje la arahan dia”.
Pintu bilik dibuka. Gelap. Tangan Mira meraba suis lampu. Cahaya lampu menerangi bilik. Diperhatikan keadaan bilik barunya itu. Terdapat sebuah katil besar, meja tulis, sofa, televisyen dan sebuah almari pakaian.
“Hemm..ok jugak bilik ni”.
Mira mengeluarkan pakaian dari beg yang dibawa dan menyimpan di dalam almari. Mira mengemas serba sedikit.
“Mungkin itu bilik air”. Matanya memandang pintu yang terdapat dalam bilik tidur itu. Perlahan dia membuka pintu tersebut. Telahannya memang tepat, memang bilik air. Tapi Mira rasa hairan kerana dalam bilik air itu terdapat satu lagi pintu. Dengan perlahan dia cuba membuka pintu itu, tapi tidak boleh kerana pintu itu berkunci.
“Mungkin bilik stor agaknya”.
Mira mencapai tuala yang disidai di tepi katil. Badannya yang berpeluh kerana mengemas sebentar tadi membuatkan dia berasa tidak selesa. Selesai mandi dan bersiap, Mira turun ke tingkat bawah menuju ke dapur. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi. Mira memandang jam. Sudah pukul lapan malam. Patutlah perutnya lapar. Mira membuka peti sejuk. Kosong. Yang ada hanya minuman ringan.
“Nak masak apa malam ni. Tak ada apa pun dalam peti sejuk ni. Aduh! Perut aku dah lapar ni”.
Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi enjin kereta berhenti di luar rumah.
“Sapa pulak yang datang ni”. Mira menjengah melalui tingkap.
“Bila masa pulak dia ni keluar? Tadi kata letih nak rehat. Siap pesan lagi dengan aku jangan ganggu dia”, bebel Mira sendiri bila melihat Johan keluar dari kereta sambil tangannya menjinjing bungkusan makanan.
Mira membuka pintu. Dengan senyuman menyambut Johan walaupun dia tahu senyumannya tidak akan dibalas oleh suaminya. Johan hanya memandang Mira dengan muka yang serius.
“Tadi aku ketuk pintu bilik kau, tapi kau tak buka pun. Aku nak tanya kau nak makan apa? Kau buat apa dalam bilik sampai aku ketuk pintu pun kau tak dengar. Aku belikan kau nasi goreng aje memandangkan aku tak tahu apa yang kau suka. Lagi pun kat dapur tu takde benda yang kau boleh makan”, ujar Johan sambil menghulurkan bungkusan yang dibawa kepada Mira.
“Abang dah makan ke?” soal Mira.
Johan tidak menjawab. Dia terus menuju ke tingkat atas dan masuk ke biliknya. Mira hanya memandang gelagat Johan. Geram juga hatinya dengan sikap Johan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan