Khamis, 14 Disember 2017

Lawatan di Lumut Bersama Kawan2..

Sampai jer kat Manjung...turun jer bas terus main boling...muka senyum walau penat...
Sempat posing dalam kapal...tepi tangga pon jadik...huhuhu
Selfie ngan anak dara ni....suka dia dapat ikut jalan2...
Dengan geng yang 1 kepala....sorang jer xder dalam ni...kaksom...kalau dia ada kompom pecah bas...hahaha

Khamis, 5 November 2015

Mendung Kasih (2)

5 Johan masih memerhatikan Mira di sebalik langsir tingkap bilik. Dia melihat Mira asyik tersenyum memandang ke arah kolam dan sesekali bibir comel itu seakan bergerak-gerak. “Gila ke perempuan yang kahwin dengan aku ni? Cakap sorang-sorang pulak. Mama, abah tengoklah menantu pilihan kalian dah gila...”. Johan pelik kenapa mama dan abahnya memaksa dia mengahwini perempuan itu. Kononnya perkahwinan itu adalah wasiat dari arwah datuknya, Dato’ Sulaiman. Dia yang pada mulanya menentang perkahwinan itu akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kedua mama dan abahnya. Mama juga mengugut tidak akan mengaku perempuan lain selain dari Mira yang akan jadi menantunya. Akhirnya kedua orang tuanya tersenyum lebar bila dia menyetujui rancangan mereka. Namun begitu tiada seorang pun teman baiknya atau rakan sepejabat yang hadir di hari perkahwinannya. Dia sendiri tidak memberitahu tentang perkahwinannya. Johan malu sekiranya teman atau rakan sepejabat tahu yang dia berkahwin atas desakan dan pilihan orang tua. Pasti dia akan ditertawakan oleh kawan-kawannya. Johan tidak mahu teman dan kawan sepejabatnya tahu dia sudah berkahwin. Biarlah ianya menjadi rahsia dirinya. Johan tersedar dari lamunannya bila terdengar bunyi pintu dibuka. Mira sudah tiada di tepi kolam ikan. “Mungkin perempuan tu sudah naik”, desis hati Johan. Dengan segera dia capai tuala mandi dan menuju ke bilik air. Pintu kamar tidur terbuka dan Johan memandang sekilas ke arah Mira baru masuk ke dalam kamar tidur. Dia nampak Mira cuba tersenyum memandangnya dan Johan cepat-cepat berpaling menuju ke bilik air tanpa mempedulikan senyuman Mira. Mira hanya terdiam memerhati gelagat Johan. Walaupun hati sedih dengan layanan Johan terhadapnya, dia tetap bersabar. Mira mengemas katil dan sofa tempat Johan tidur. Menyusun bantal dan melipat selimut. Bukan dia tidak biasa melakukan kerja yang dilakukan sekarang. Suasana yang baru dan sikap dingin Johan buat Mira rasa serba salah. Selesai mengemas apa yang patut, Mira duduk di sofa. Tidak tahu apa yang patut dia buat. Johan masih dalam bilik air. Pintu air terbuka. Johan keluar dari bilik air dengan menggunakan tuala mandi yang dililit dipinggangnya. Dengan tidak berbaju memang menyerlahkan tubuh sasa Johan. Mira segera berpaling ke arah lain. Timbul pula perasaan malu memandang Johan dalam keadaan sedemikian. Mira bingkas bangun dan menuju ke arah balkoni. Tidak selesa dia dengan keadaan begitu. Berdiri di tepi balkoni dan memandang ke arah deretan rumah mewah. Masih sunyi lagi suasana pagi itu. Hanya terdapat dua atau tiga buah kenderaan yang lalu lalang di hadapan rumah. Hembusan bayu yang sungguh nyaman melekakanya. Kemudian Mira teringat tujuannya untuk mengajak Johan turun bersarapan. Pantas dia berpaling ke arah Johan dan dia tergamam kerana Johan sedang merenung tajam ke arahnya. “Kemas pakaian kau. Petang ni kau ikut aku balik rumah aku”, arah Johan. “Yang kau tegak macam tiang letrik ni, kenapa? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni”, sergah Johan lagi. Mira hanya mengangguk. “Kau ni bisu ke”, ejek Johan. “Tak bang”, jawab Mira perlahan. Mira hanya menundukkan kepalanya. Tidak sanggup rasanya dia memandang Johan. Hanya menambah sakit dihati. Kecewa sungguh Mira dengan sikap kasar Johan terhadapnya. “Beginikah layanan seorang suami kepada isterinya”, kata hatinya. “Kau faham tak apa yang aku cakap tadi”. “Faham bang”. Habis bercakap Johan terus turun ke bawah, meninggalkan Mira sendirian. Langsung tidak mengajak isterinya untuk turun bersarapan bersama. Lemah langkah Mira menuju ke tingkat bawah. Dimeja makan kelihatan kedua mentuanya dan Johan sedang menunggu. Perlahan dia menarik kerusi dan duduk sebelah Johan. Johan langsung tidak memandang ke arahnya. Cuma kedua mentuanya yang memandang dan tersenyum mesra kepadanya. Dia membalas senyuman kedua mereka. “Petang ni Jo nak bawak Mira balik rumah Jo”, beritahu Johan kepada mama dan abahnya “Kenapa cepat sangat? Mama tak setuju”, bantah mama. “Laa...awak ni kenapa. Biarkanlah dia bawak balik si Mira tu. Si Mira tu kan isterinya”, sampuk abah. “Pengantin baru mestilah hendakkan privacy. Takkan la awak tak faham-faham lagi”, sambung abah lagi sambil tersenyum. “Ya la mama ni. Buat-buat tak faham pulak”, balas Johan selamba. Macam-macam nasihat dan pesanan yang diberikan oleh mama sebelum bertolak. Mira hanya tersenyum dan mengangguk sahaja. Johan menunggu dalam kereta Honda Viosnya dengan perasaan jengkel. Selepas bersalaman dengan kedua-dua mentuanya, Mira masuk ke dalam kereta dan melambai tangan ke arah kedua-dua mentuanya. Suasana sepi menyelubungi sepanjang perjalanan. Kedua-duanya membisu. Johan tenang memandu. Mira hanya diam melayan perasaan sendiri. Akhirnya mereka sampai di rumah Johan. Setelah pintu dibuka, Mira melangkah masuk dengan debar di hati. Dia mengikut langkah Johan menuju ke tingkat atas. Tiba-tiba Johan berhenti dihadapan pintu sebuah bilik. “Untuk pengetahuan kau. Ini bilik aku. Aku tak suka kongsi bilik. Bilik kau situ”, jari Johan menunjuk pintu bilik di hadapannya dan kemudian jarinya menunjuk arah pintu disebelah biliknya. “Aku nak pesan dengan kau jangan sesekali masuk bilik aku. Aku tak suka”, tegas Johan. “Aku letih sekarang, aku nak rehat. Jangan kacau aku”, sambung Johan lagi dan terus menutup pintu biliknya. Mira tercengang. Hairan dengan sikap Johan. “Ahh..lantaklah. Ikut aje la arahan dia”. Pintu bilik dibuka. Gelap. Tangan Mira meraba suis lampu. Cahaya lampu menerangi bilik. Diperhatikan keadaan bilik barunya itu. Terdapat sebuah katil besar, meja tulis, sofa, televisyen dan sebuah almari pakaian. “Hemm..ok jugak bilik ni”. Mira mengeluarkan pakaian dari beg yang dibawa dan menyimpan di dalam almari. Mira mengemas serba sedikit. “Mungkin itu bilik air”. Matanya memandang pintu yang terdapat dalam bilik tidur itu. Perlahan dia membuka pintu tersebut. Telahannya memang tepat, memang bilik air. Tapi Mira rasa hairan kerana dalam bilik air itu terdapat satu lagi pintu. Dengan perlahan dia cuba membuka pintu itu, tapi tidak boleh kerana pintu itu berkunci. “Mungkin bilik stor agaknya”. Mira mencapai tuala yang disidai di tepi katil. Badannya yang berpeluh kerana mengemas sebentar tadi membuatkan dia berasa tidak selesa. Selesai mandi dan bersiap, Mira turun ke tingkat bawah menuju ke dapur. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi. Mira memandang jam. Sudah pukul lapan malam. Patutlah perutnya lapar. Mira membuka peti sejuk. Kosong. Yang ada hanya minuman ringan. “Nak masak apa malam ni. Tak ada apa pun dalam peti sejuk ni. Aduh! Perut aku dah lapar ni”. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi enjin kereta berhenti di luar rumah. “Sapa pulak yang datang ni”. Mira menjengah melalui tingkap. “Bila masa pulak dia ni keluar? Tadi kata letih nak rehat. Siap pesan lagi dengan aku jangan ganggu dia”, bebel Mira sendiri bila melihat Johan keluar dari kereta sambil tangannya menjinjing bungkusan makanan. Mira membuka pintu. Dengan senyuman menyambut Johan walaupun dia tahu senyumannya tidak akan dibalas oleh suaminya. Johan hanya memandang Mira dengan muka yang serius. “Tadi aku ketuk pintu bilik kau, tapi kau tak buka pun. Aku nak tanya kau nak makan apa? Kau buat apa dalam bilik sampai aku ketuk pintu pun kau tak dengar. Aku belikan kau nasi goreng aje memandangkan aku tak tahu apa yang kau suka. Lagi pun kat dapur tu takde benda yang kau boleh makan”, ujar Johan sambil menghulurkan bungkusan yang dibawa kepada Mira. “Abang dah makan ke?” soal Mira. Johan tidak menjawab. Dia terus menuju ke tingkat atas dan masuk ke biliknya. Mira hanya memandang gelagat Johan. Geram juga hatinya dengan sikap Johan.

Isnin, 2 November 2015

Mendung Kasih (1)

1 Petang itu hujan turun lagi dengan lebatnya. Langit semakin gelap. Mira masih berdiri menahan kesejukan. Harapannya agar hujan reda dengan segera. Dia risau sekiranya hujan turun sehingga ke malam. Bagaimana dia mahu balik rumah. Di perhentian bas tersebut hanya terdapat dia dan seorang lelaki sedang menunggu bas. Dia tidak pasti adalah lelaki itu menunggu bas atau menunggu seseorang dan dia sendiri tidak mahu ambil peduli. Apa yang merisaukannya bas yang ditunggu hingga sekarang masih tidak muncul-muncul. Hatinya makin resah. Jam ditangan dijeling. “Dah pukul tujuh”, desis hatinya yang semakin resah. Sudah dua hari Mira menaiki bas. Biasanya dia memandu kereta sendiri ke tempat kerja tetapi bila rakan serumahnya hendak meminjam keretanya hendak balik ke kampung kerana hal kecemasan, Mira tidak sampai hati mengatakan tidak. Sudahnya dia yang kelam kabut menunggu bas. Sepuluh minit kemudian sebuah kereta berhenti dihadapan lelaki yang menunggu diperhentian bas itu. Mira hanya memandang sekilas. Kelihatan lelaki tersebut membuka pintu kereta dan terus masuk ke dalam perut kereta tersebut. “Macam mana dengan aku ni, bas yang aku tunggu dah terlepas agaknya?” gumam Mira sendirian. Langit semakin gelap. Kedinginan semakin terasa. Mata Mira masih memandang di kanan jalan dengan harapan bas yang ditunggu tiba. Namun hampa. Dalam kesibukan jalanraya yang tidak putus-putus dengan kenderaan walaupun hujan lebat, sebuah kereta Wira berhenti dihadapannya. Mira hanya memandang dengan debaran didada. Risau juga dia, manalah tahu tiba-tida ada orang hendak membuat perkara tidak baik padanya. Cermin kereta diturunkan, Mira merendahkan kepalanya melihat ke arah cermin kereta yang diturunkan. “Hai Mira, kalau nak balik marilah saya hantarkan”, Ikhman sedikit menjerit melawan bunyi hujan dan kenderaan yang lalu lalang. “Laa..dia rupanya. Aku ingat mamat mana tadi”. “Tak apa la En. Ikhman, mungkin sekejap lagi bas sampai”. “Hujan lebat ni, tak tahu bila reda. Buatnya bas yang Mira tunggu dah lepas, macam mana? Hari dah makin gelap. Bahaya ni”, Ikhman masih tidak putus asa. “Betul juga katanya”. Mira jadi serba salah. “Macam mana sekarang ni. Kang kalau aku ikut, buatnya ternampak orang sepejabat jadi kecohlah pulak. Tapi kalau aku tak tumpang dia, entah pukul berapa pulak bas sampai”. Mahu dengan tidak Mira membuka pintu kereta dan duduk di sebelah Ikhman. Rasa tidak selesa duduk berdua dengan Ikhman. Pendingin udara dalam kereta membuat seluruh badan Mira semakin sejuk, ditambah pula pakaiannya yang sedikit basah terkena tempias air hujan. Mata Mira hanya memandang hadapan, melihat wiper cermin kereta yang tidak jemu-jemu mengelap air hujan di cermin kereta. Sesekali dia membuang pandangan ke arah luar tingkap kereta sambil meramas-ramas jari tangannya seperti dalam kegelisahan. “Sejuk ke? Ikhman memandangnya sekilas. “Kereta Mira mana? Kenapa tak bawa kereta?” “Kawan serumah pinjam. Dia ada hal di kampung.” Ikhman memang seorang bos yang baik. Kebajikan semua pekerja bawahannya amat dijaga. Dia juga seorang bos yang mesra dengan pekerjanya. Cuma Mira rasa kurang selesa dengan kebaikan Ikhman. Pernah beberapa kali Mira terperasan Ikhman selalu merenungnya di pejabat. Bila Mira memandang ke arahnya, cepat-cepat lelaki itu memandang ke arah yang lain. Atas sebab itulah Mira rasa serba salah hendak menumpang kereta Ikhman bila lelaki itu mempelawanya tadi. Mira hanya diam sepanjang perjalanan itu. Sepatah Ikhman bertanya. Sepatah jugalah dia menjawab. Dia rasa kekok sebenarnya. Duduk berdua-duaan dengan Ikhman dalam kereta, membuatkan dia jadi pendiam. Belum pernah lagi dia duduk berdua dengan lelaki dalam kereta. Bukannya dia tidak kenal Ikhman tapi ada perasaan lain timbul bila duduk berdua dengan lelaki itu, lelaki yang suka merenungnya dalam diam. “En. Ikhman berhenti di depan tu saja”. Jarinya menunjuk ke arah tempat yang dimaksudkan. “Mira tinggal kat sini ke?” Ikhman memberhenti keretanya dihadapan sebuah rumah yang kelihatan gelap didalamnya. “Iya...err...terima kasih En. Ikhman, menyusahkan En. Ikhman saja menghantar saya balik.” “Laa..kenapa cakap macam tu. Tak susah mana pun. Bukannya saya kena pikul Mira sepanjang jalan”. Ikhman tersenyum nakal. “Esok pergi kerja macam mana, nak tumpang saya ke?” “Esok saya cuti dua hari la En. Ikhman”. “Cuti? Kenapa?” “Esokkan hari Sabtu, office tutup dua hari”. Mira hanya tersenyum. “Ops! Terlupa pulak saya hari ni hari Jumaat. Oklah, saya jalan dulu”. Mira masih tersenyum sambil mengeleng kepala. “Macam dah tua sangat pulak, dah tak ingat hari lagi”. 2 “Kenapa pula Mira? Mira tak setuju, Mira tak nak. Mira tak kenal dia nek”, Mira sebak, air matanya menitis. Neneknya hanya diam. Tidak tahu bagaimana mahu dipujuk cucu kesayangan. Kalau ikutkan hatinya, dia pun tidak bersetuju. Namun untuk membantah kata-kata suaminya itu tidak mungkin. Suaminya tidak pernah memberitahu padanya tentang perjanjian tersebut. Perjanjian yang dibuat antara suaminya dengan arwah Dato’ Sulaiman. Apa yang diketahuinya, suaminya Kadir memang rapat dengan arwah Dato’ Sulaiman. Namun dia juga tidak menyangka pula dalam diam mereka berdua ingin menjodohkan cucu masing-masing. Malah hasrat tersebut telah pun terkandung dalam wasiat arwah Dato’ Sulaiman. Mira benar-benar tidak menyangka dia dipanggil pulang ke kampung disebabkan perkara tersebut. Sangkanya mungkin nenek atau datuknya sakit. Tergesa-gesa dia pulang. Nasib baik tempat tinggalnya tidak jauh dari kampungnya. Namun apabila datuknya memberitahu sebab mengapa dia dipanggil balik, dia jadi tergamam. Bagai mahu terbang nyawanya dari badan apabila dimaklumkan oleh datuknya yang perkahwinannya akan berlangsung pada bulan hadapan. “Kenapa atuk pandai-pandai buat keputusan untuk Mira. Mira tak setuju. Mira tak mahu kahwin dengan lelaki tu. Mira tak kenal dia”. Mahu sahaja kata-kata itu dihamburkan kepada datuknya. Tapi mengenangkan sikap dan sifat datuknya yang keras hati dan tidak suka dibantah apa jua kata-katanya, Mira tahu tiada gunanya dia membangkang. Mira sudah masak dengan sikap datuknya yang keras hati. Tidak guna dia merayu pada datuknya untuk membatalkan perkahwinan itu. Sia-sia sahaja. 3 “Mira hantar surat perletakkan jawatan? Tapi mengapa?” Ikhman hairan. “Saya pun tak tau En. Ikhman. Hujan tak, ribut pun tak. Tiba-tiba aje dia datang office padi tadi dan serahkan surat perletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta”, jawab Lili. Lili rasa pelik kenapa Mira bertindak demikian. Macam tergesa-gesa. Mulutnya ringan mahu bertanya tetapi melihat air muka Mira yang mendung, dia hanya diam dan mengangguk sahaja bila Mira minta tolong dia supaya memberikan surat tersebut kepada En. Ikhman. “Kalau macam tu takpe la Lili”, Ikhman sebenarnya masih belum berpuas hati dengan penerangan Lili sebentar tadi. Dia pasti mesti ada sesuatu yang telah berlaku yang menyebabkan Mira bertindak demikian. Ikhman sesungguhnya berasa amat terkilan bila Mira meletakkan jawatan. Mungkin dia yang bodoh. Lambat meluahkan isi hatinya kepada gadis itu. Ikhman merancang hendak pergi ke rumah sewa Mira selepas habis waktu kerja. Dia sendiri hendak berjumpa dengan gadis itu. Dia mahu tahu kenapa gadis itu mengambil tindakan mengejut berhenti kerja. Petang itu Ikhman pergi ke rumah sewa Mira. Tapi hatinya benar-benar hampa apabila dimaklumkan oleh teman serumah Mira bahawa Mira telah balik ke kampung. Hartini pun tidak pasti kenapa Mira berhenti kerja dan berpindah ke kampung datuknya. “Saya pun tak tau kenapa dia nampak lain kebelakangan ni. Selalu termenung. Kadang-kadang saya nampak dia menangis. Bila saya tanya dia, dia hanya diam aje. Tapi saya dapat rasakan dia mungkin dia ada masalah”, cerita Hartini. Selepas mendengar cerita Hartini, entah mengapa hatinya seperti dapat meramalkan bahawa dia tidak akan berjumpa lagi dengan Mira. Namun di sudut hatinya, dia amat berharap dapat berjumpa dengan Mira biarpun sekali. Dia akan gunakan peluang yang ada sebaik mungkin. Tapi apa boleh dia buat. Kampung Mira pun Ikhman tidak tahu dimana. Kalau Ikhman tahu di mana kampung Mira, harus juga dia pergi ke sana mencari gadis itu. 4 Akhirnya perkahwinan itu berlangsung juga. Berlangsung dengan meriahnya. Mira cuba memaniskan muka dihadapan para tetamu yang hadir walaupun dalam hatinya terasa seperti ingin menjerit mengatakan yang dia tidak setuju dengan perkahwinan ini. Apatah lagi lelaki yang dikahwini langsung tidak memandang mukanya, apa lagi hendak tersenyum kepadanya. Di hadapan tetamu yang hadir lelaki itu memegang tangannya dengan mesra sambil tersenyum. Tetapi Mira dapat rasakan lelaki itu seolah-olah terpaksa memegang tangannya. Kaku. Adakah Johan tidak ikhlas mengahwininya. Mira cuba bersikap selamba walaupun pada hakikatnya dia merasa kekok. Majlis menyambut menantu yang diadakan dirumah mentuanya memang meriah. Ramai tetamu dari orang-orang kenamaan. Bukan seperti majlis di kampungnya, yang hadir cuma orang-orang kampung sahaja. Namun mereka semua ikhlas meraikan perkahwinannya. Bukan seperti orang-orang dibandar yang kadang kala hanya seperti hendak menunjuk-nunjuk. Mungkin itu hanya andaiannya sahaja. Tapi itulah yang Mira rasakan sekarang, bila berada dikalangan orang-orang yang kononnya merasa standardnya lebih dari orang lain. Setelah selesai majlis, Mira terus masuk ke bilik selepas memberitahu kepada kedua-dua mentuanya. Kedua-duanya mengangguk dan tersenyum penuh makna. Encik Johari dan Puan Jasmin, kedua mentuanya itu memang baik kepada Mira. Mira benar-benar keletihan kerana melayan tetamu yang hadir. Mulut pun rasa lenguh kerana asyik mempamerkan senyuman manis kepada para tetamu. Mira memandang sekeliling bilik pengantin yang dihias indah, citarasa yang benar-benar mewah. Dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik air ingin membersihkan diri. Setelah selesai perlahan-lahan dia membuka pintu bilik air untuk melihat jika suaminya sudah masuk ke dalam bilik. Setelah yakin bahawa suaminya tiada barulah dia keluar dari bilik air. Setelah memakai pakaian tidur, dia termenung lagi. Sambil berbaring di atas katil dia bertanya pada diri sendiri bagaimana dengan masa depannya. Adakah dia boleh membahagiakan suaminya dan bolehkah suaminya membahagiakan dirinya? Teringat akan pesanan neneknya agar dia belajar menerima Johan dan belajar menjadi isteri yang baik untuk suaminya itu. Jauh disudut hatinya berjanji akan cuba menjadi menantu yang baik dan isteri yang taat kepada suami. Matanya semakin berat, Mira cuba menahan dirinya dari tertidur. Dia menunggu suaminya. Jam di dinding menunjukkan sudah pukul sebelas empat puluh lima malam. Hatinya tertanya mengapa suaminya masih belum masuk ke bilik. Namun setelah cuba bertahan akhirnya Mira tertidur juga. Johan masih menonton televisyen di ruang tamu. Kalau diikutkan hatinya, dia tidak mahu masuk ke biliknya. Hatinya tidak dapat menerima perempuan itu sebagai isterinya. Hatinya masih sakit dengan sikap kedua ibu bapanya yang memaksa dia mengahwini perempuan itu. Johan langsung tidak mengenali perempuan yang bernama Asmira dan dia juga tidak ingin mengenali perempuan tersebut. Jam telah hampir pukul satu pagi. Johan akhir mengalah. Akur dengan matanya yang semakin berat. Dia khuatir juga kalau dia tertidur diruang tamu, apa pula kata orang tuanya jika mereka nampak. Kakinya melangkah menuju ke kamar tidurnya, perlahan-lahan pintu bilik dibuka. Cahaya malap dari lampu tidur cukup untuk menerangi bilik tidur itu. Memang agak romantis suasana sebegitu. Perlahan-lahan pintu ditutup. Matanya tertumpu ke arah katil. Sesusuk tubuh sedang lena dibuai mimpi. Dia melangkah perlahan ke arah katil, berdiri di tepi katil sambil merenung isterinya yang sedang lena. “Cantik jugak perempuan ni, tapi bukan mudah untuk aku menerima kau sebagai isteri aku”, Johan seolah-olah sedang berkata dengan Mira. Johan mengambil keputusan untuk tidur di atas sofa sahaja. Kerana keletihan yang amat sangat, mudah sahaja Johan melelapkan matanya. Mira terjaga apabila terdengar sayup-sayup azan subuh. Dia rasa pelik dengan suasana bilik tidur itu. “Kenapa lain macam aja rupa bilik aku ni?” Berkerut-kerut muka Mira cuba berfikir. Beberapa ketika baru dia teringat, bahawa dia berada dirumah mentuanya. Dia sudah berkahwin. Dia teringat Johan, dia memandang di sebelahnya. Suaminya tiada disitu. Mira turun dari katil terus menuju ke bilik air. Selesai solat baru dia perasaan yang Johan tidur di sofa. Sedarlah Mira yang Johan sememangnya tidak menyukai dirinya. Mira menghampiri Johan. “Abang, bangun bang. Dah subuh ni”, Mira mengerakkan kaki Johan perlahan. “Hish..jangan kacau la. Aku nak tidur. Pagi-pagi lagi dah buat bising”, rungut Johan. Terkedu sekejap Mira mendengar kata-kata Johan. Kasarnya bahasa. Khuatir dimarahi lagi oleh suaminya, Mira terus keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah. Di dapur kelihatan Mak Jah, pembantu rumah Puan Jasmin sibuk membuat sarapan. “Assalamualaikum, Mak Jah”, sapa Mira. “Waalaikumsalam. Eh..Mira! Awal bangun”, jawab Mak Jah dengan mesra. “Ada apa-apa yang boleh saya tolong Mak Jah?” “Ish..tak payahlah Mira, dah nak siap pun”. “Mama dah bangun ke Mak Jah?” “Dah. Puan Jasmin dan Encik Johari pergi ke masjid subuh tadi. Kejap lagi baliklah tu”. Mira hanya diam mendengar kata-kata Mak Jah. “Johan tu jarang balik rumah ni. Dia lebih suka duduk sendiri. Esok lusa mungkin dia bawak Mira tinggal kat rumah dia di Sri Damansara tu. Tak betah dia duduk rumah ni lama-lama. Faham sangat Mak Jah dengan perangai Johan tu. Mira pergilah kejutkan Johan. Nanti bila Puan dan Encik dah balik, Mak Jah panggil Mira turun untuk sarapan”, sambung Mak Jah lagi. Mira mengangguk dan bangun melangkah meninggalkan Mak Jah di dapur. Mira tidak terus ke bilik sebaliknya kakinya melangkah keluar dan menuju ke taman mini di rumah tersebut. Disitu terdapat kolam ikan buatan. Pokok-pokok bunga ditanam disekeliling kolam. Menarik juga pada pandangan Mira. Mira melabuhkan punggungnya di atas bangku yang terdapat di tepi kolam. Matanya merenung ikan-ikan kecil yang terdapat dikolam itu. Terhibur juga hatinya melihat gelagat ikan-ikan tersebut. Mira masih asyik melihat ikan yang berenang hingga tidak sedar sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya.

Ahad, 1 November 2015

mendung kasih

aku suka menulis masa hati tengah susah..banyak pulak idea kalau hati tengah berduka...huhuhu.. penah hantar kat hasil tulisan kat penulisan2u.com... tapi hanya sempat beberapa part jer...sibuk bebenau, sampai xde masa nak menulis..lagipun masa tu ada desktop...lepas dah telokop sebab kena petir kot...agaknya la..sebab masa aku tengah guna desktop tu..hujan lebat, sekali petir dahhh...terus gelap gulita akunyer pc...maka terhentilah aktiviti menulis aku untuk jangkamasa yang agak lama jugak la.

nur marissa eryna

Pada 15 Ogos 2011 jam 4.52am, aku telah selamat melahirkan anak ke3. Sakit melahirkan anak pada kali memang berbeza berbanding kelahiran anak yang sebelum ini. rasa mcm xnak mengandung lagi..huhuhu...